“Baru Lahir Terus Dibuang…” Bayi Bertali Pusat Ditinggalkan Depan Surau

JOHOR BAHRU — Suasana tenang di sebuah surau di Taman Universiti, Skudai bertukar pilu apabila seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan bersendirian di pekarangan surau berkenaan, Sabtu lalu.

Kejadian menyayat hati itu disedari seorang jemaah lelaki berusia lingkungan 40-an sejurus selesai menunaikan solat sebelum berjalan ke kawasan parkir. Langkahnya terhenti apabila terlihat satu gumpalan kecil yang mencurigakan.

Setelah dihampiri, beliau terkejut apabila mendapati ‘gumpalan’ tersebut sebenarnya seorang bayi yang sedang lena tanpa sebarang pengawasan.

Menurut perkongsian seorang wanita dikenali sebagai Sha di media sosial, bayi itu hanya dibalut dengan tuala hijau tanpa pakaian sempurna.

“Bayi itu tidur nyenyak dengan tangan dan kaki terdedah, seolah-olah ditinggalkan begitu sahaja,” katanya.

Penemuan itu mencetuskan rasa sayu dan kebimbangan dalam kalangan jemaah yang berada di lokasi berkenaan, memandangkan keadaan bayi yang begitu terdedah tanpa perlindungan.

Bimbang akan keselamatannya, lelaki tersebut bersama seorang lagi jemaah segera menghubungi pihak polis bagi mendapatkan bantuan.

Tidak lama kemudian, ambulans tiba dan membawa bayi berkenaan ke hospital untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail memaklumkan bayi tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan sedang dipantau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Radin Ramlan Radin Taha mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Kejadian ini sekali lagi membuka mata masyarakat tentang isu pembuangan bayi yang masih berlaku, mengundang persoalan besar tentang nilai kemanusiaan dan tanggungjawab dalam masyarakat hari ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *